‘My God!’ ungkap Najib terkejut mengetahui RM42 juta dalam akaunnya – saksi

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak terkejut selepas mendapat tahu dua akaun bank peribadinya menerima kemasukan wang berjumlah RM42 juta.

Dr Shamsul Anwar yang memberikan keterangan selaku saksi pembelaan, berkata bekas perdana menteri itu menelefonnya dan bertanyakan sama ada beliau (Shamsul Anwar) memasukkan dana berkenaan melalui tiga transaksi pemindahan.

IPSB ialah badan amal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditubuhkan untuk kerja kebajikan sosial, yang menerima pembiayaan daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M).

Saksi pembelaan ke-14 itu berkata, beliau mengesahkan kepada Najib bahawa dia memang membuat tiga pemindahan berkenaan, bagaimanapun menjelaskan ketika membuat transaksi itu, beliau tidak mengetahui siapakah pemilik akaun.

“Datuk Seri bertanya mengapa saya memindahkan dana ke dalam akaun itu, saya beritahu saya mengikut arahan Ung Su Ling dan Dennis See (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), kerana ia amalan biasa bagi saya untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

“Oleh kerana peranan mereka dalam YR1M, saya percaya bahawa pembayaran ini bertujuan untuk tujuan CSR.

“Daripada reaksinya melalui telefon, nampaknya bahawa Datuk Sri Najib terperanjat, kerana saya dengan jelas mendengar dia menggumam dengan menyatakan, ‘My God!’

Shamsul Anwar yang membacakan pernyataan saksinya, memberitahu reaksi itu didengar ketika menerima panggilan daripada Najib ketika dalam perjalanan ke Brussels.

Saksi itu menjelaskan, jika beliau mengetahui dua akaun bank itu adalah milik Najib, beliau akan bertanya kepadanya terlebih dahulu.

Terdahulu, Dr Shamsul Anwar berkata, IPSB menerima geran berjumlah RM40 juta setiap tahun untuk melaksanakan program CSR bagi 1MDB yang diterimanya daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (YIMDB) dan YRIM.

Bagaimanapun selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906, Dr Shamsul Anwar tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

Dr Shamsul Anwar yang disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau menerima arahan untuk melakukan pemindahan wang melalui e-mel daripada Su Ling disusuli dengan arahan daripada See untuk memastikan ia dilaksanakan.

Menurut Dr Shamsul Anwar, beliau melakukan dua pemindahan wang pertama pada 26 Disember 2014 masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM27 juta, manakala pemindahan ketiga ialah pada 10 Februari 2015, sebanyak RM10 juta.

Dana berjumlah RM42 juta itu adalah perkara subjek pada perbicaraan jenayah berasingan yang membabitkan Najib.

Ketika disoal Muhammad Shafee mengapa beliau mengikut arahan untuk memindahkan wang itu, Dr Shamsul Anwar berkata arahan itu datang daripada Su Ling dan See dari YR1M, yang merupakan pembiaya IPSB.

“Saya terpaksa mengikut arahan mereka berhubung pengeluaran dana,” katanya.

Saksi itu juga berkata bahawa dia telah mengambil tanggungjawab sendiri untuk menyemak secara dalaman dengan Jabatan Kewangan IPSB mengenai siapa pemilik akaun bank itu tetapi usaha itu sia-sia.

Katanya, beliau juga cuba membuat pengesahan dengan Su Ling melalui telefon dan secara peribadi beberapa kali, namun Su Ling tidak mendedahkan maklumat itu kepadanya.

“Saya juga bertanya kepada See soalan yang sama tetapi dia beritahu, saya tidak perlu mengetahui butiran pemegang akaun AmPrivate Banking-1 MY dan AmPrivate Banking-MY,” katanya.

Dr Shamsul Anwar memberikan keterangan pada perbicaraan membabitkan Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok.

BH ONLINE