KUALA LUMPUR — Polis sedang memburu tiga individu disyaki menyamun sebuah motosikal selepas menyembur cecair pemedih mata kepada seorang wanita warga Indonesia, di Taman Batu Gombak, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata ketika kejadian mangsa berusia 44 tahun dalam perjalanan balik ke rumahnya di Greenwood.
“Tiga suspek tidak dikenali menaiki motosikal menghampiri mangsa yang sedang menaiki motosikal dan kemudian menyembur cecair pemedih mata.
“Ia menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal motosikal hingga menyebabkan ia terjatuh. Selepas itu suspek membawa lari motosikal mangsa,” katanya.
Noor Ariffin berkata mangsa sudah membuat laporan polis pada hari kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 kerana merompak.
Terdahulu, satu video tular menunjukkan mangsa terbabas di sebuah taman perumahan dan kemudiannya tiga lelaki menunggang dua motosikal memecut laju dari situ.
Mangsa dilihat menangis sebelum ditenangkan oleh orang awam di situ.
BH ONLINE