Wanita rugi lebih RM20,000 angkara ‘love scam’

KUALA TERENGGANU — Seorang wanita kerugian RM20,900 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan love scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi TikTok pada 5 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata selepas berkenalan, mangsa yang juga balu berumur 33 tahun itu pada mulanya diberikan satu pautan di Google Chat bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih mudah.

Beliau berkata, selepas beberapa hari berhubung, suspek kononnya berniat mahu memberi hadiah telefon dan wang tunai dalam bentuk dolar kepada wanita terbabit.

“Tidak lama kemudian wanita itu menerima e-mel yang menyatakan kiriman barangan sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi dia perlu membuat bayaran kepada syarikat kurier untuk mendapatkan barangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, wanita itu membuat 14 kali pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza seperti diarahkan, dengan menggunakan wang simpanan sendiri dan arwah suaminya, namun dia tetap tidak menerima barangan berkenaan, sebaliknya terus diminta membuat pembayaran lagi atas pelbagai alasan.

“Selepas menyedari tertipu, wanita itu membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

BH ONLINE – BERNAMA