4 sekeluarga antara 5 maut kemalangan babitkan dua kenderaan

GUA MUSANG — Lima maut termasuk empat sekeluarga apabila kereta yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 86 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut ialah pemandu dan penumpang PERODUA Myvi, Mohd Junaizi Jusoh, 48; isterinya, Shazwani Ismail, 39; anak mereka Muhammad Fakrul Danish, 20, dan Farhana Ismail, 35; yang juga adik Shazwani serta pemandu lori jenis Nissan, G Mageswara, 53.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Nor Azizi Che Noh, berkata pihaknya menerima makluman kejadian itu pada jam 11.57 pagi tadi.

“Semua mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita maut di lokasi kejadian akibat tersepit.

“Operasi menyelamat dimulakan pada jam 1.25 tengah hari dan terpaksa memohon bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands.

“Lima mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nor Azizi berkata, semua mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 3.55 petang.

Katanya, operasi itu membabitkan 18 anggota dan tujuh jentera daripada BBP Gua Musang dan Cameron Highlands.

BH ONLINE