Tukang masak maut kereta langgar jentolak

SUNGAI PETANI — Seorang tukang masak maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Lencong Timur, di sini hari ini.

Zuraini Murad, 48, dari Darulaman Perdana, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata dua kenderaan itu dari arah Taman Batik menuju ke Bukit Bayan.

“Hasil siasatan awal mendapati nahas apabila jentolak itu bergerak lurus di lorong kanan sebelum Perodua Axia dipandu mangsa melanggar dari arah belakang sehingga menyebabkan kemalangan.

“Akibat kemalangan, pemandu kereta cedera bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, lelaki berusia 24 tahun yang memandu jentolak tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BH ONLINE