LA PAZ – Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 15 lagi cedera selepas bas transit awam terjunam ke dalam gaung di lebuh raya menghubungkan jabatan Potosi dan Oruro di barat Bolivia, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.
“Terdapat 31 orang kehilangan nyawa dalam kejadian ini. Kami masih mencari mayat,” kata Kolonel Limbert Choque, jurucakap perintah polis di Potosi, kepada media tempatan.
Laporan awal polis menunjukkan pemandu bas itu hilang kawalan sebelum terbabas dari jalan dan jatuh ke dalam gaung sedalam 800 meter pada Isnin.
Choque berkata laluan jalan di mana tragedi itu berlaku mempunyai selekoh tajam dan cerun curam yang meningkatkan risiko kemalangan.
Antara yang cedera ialah empat remaja bawah umur, dua daripadanya dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan rapi. Baki 11 adalah orang dewasa, termasuk dua yang sedang menjalani pembedahan untuk kecederaan parah, kata laporan.
XINHUA