BEIRUT — Tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan orang berhampiran Ladang Shebaa di selatan Lubnan, kata sumber tentera Lubnan pada Ahad.
Sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Xinhua, sebuah dron Israel menembak peluru berpandu udara ke darat di kawasan Bastra di selatan pekan Shebaa, mengakibatkan kematian.
Pasukan Pertahanan Israel berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu, tentera udaranya telah mengenal pasti dan menyerang tiga “suspek” berhampiran kawasan Ladang Shebaa yang diilhakkan oleh Israel.
Sementara itu, Direktorat Umum Pertahanan Awam Lubnan mengumumkan pada Ahad ia telah mendapatkan dua mayat di pekan Khiam Lubnan, mayat dan cebisan lapan orang di pekan Naqoura, dua mayat di kampung Biyyadah, dan satu mayat di kampung Tayr Harfa.
Gencatan senjata, yang ditengahi oleh Amerika Syarikat dan Perancis, berkuat kuasa pada 27 November 2024, bertujuan untuk menghentikan hampir 14 bulan pertempuran antara Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan Hizbullah.
Bagaimanapun, di sebalik perjanjian gencatan senjata, tentera Israel masih melakukan serangan di Lubnan, yang sebahagiannya mengakibatkan kematian dan kecederaan. Israel juga menuduh Hizbullah melanggar gencatan senjata.
XINHUA