3 nelayan hilang ditemui selamat di Indonesia

ALOR SETAR — Tiga nelayan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di perairan Pulau Payar dekat Kuala Kedah, sejak Khamis lalu ditemukan selamat di Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada waris memaklumkan mereka dihubungi mangsa, sebentar tadi.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan mereka kini berada di Indonesia.

“Justeru, Maritim Malaysia sudah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) untuk pengesahan dan dimaklumkan ketiga-tiga mangsa selamat dan berada dalam keadaan baik.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan petang ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga nelayan terbabit, Asrulhisham Zainon, 47, dan anaknya, Shahril Aiman, 16, serta Mohamad Al Amin Sufian, 29, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan.

BH ONLINE