PHNOM PENH – Tiga orang maut selepas rumah mereka diselubungi api dari sebuah lori tangki minyak di wilayah Preah Sihanouk, barat daya Kemboja, menurut Jabatan Pencegahan, Pemadaman dan Penyelamat Kebakaran Polis Negara pada Khamis.
Insiden itu berlaku tengah malam Rabu di perkampungan Prek Pros daerah Prey Nop apabila pemandu lori tangki minyak memindahkan petrol ke dalam bekas kecil, kata jabatan itu.
“Tiga orang disahkan maut dalam kebakaran itu,” katanya sambil menambah, mangsa berusia 18, 15 dan 13 tahun.
Kecuaian dipersalahkan atas kejadian tragis yang turut memusnahkan sepenuhnya kabin lori tangki itu, dua rumah, dan lima motosikal, kata jabatan itu.
Negara Asia Tenggara itu merekodkan sejumlah 823 kejadian kebakaran pada 2024, membunuh 20 orang dan mencederakan 59 yang lain, menurut Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana.
XINHUA