3 kampung terjejas banjir di Kubang Pasu, 53 penduduk berpindah ke PPS

JITRA – Seramai 53 penduduk membabitkan 15 keluarga dari tiga kampung di Mukim Malau, di sini, ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata kampung terbabit ialah Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh.

“Air mulai naik sejak malam tadi sebelum PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dibuka pada jam 9.16 malam.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu sudah bersiap sedia dan masih berada di lapangan untuk membuat pemantauan.

“Selain itu, penduduk yang terjejas akibat banjir dinasihatkan berpindah ke tempat selamat,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Adenin berkata, anggota membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS sejak malam tadi.

Beliau sekali gus menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir supaya bersiap sedia untuk berpindah jika kediaman mereka mula dinaiki air.

Terdahulu, media melaporkan hujan lebat sejak pagi hingga ke petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.

Keadaan itu menyebabkan laluan di Kilometer 22.5 Lebuh Raya Utara-Selatan di Jalan Asun-Jitra ditutup kepada kenderaan ringan pada jam 3.55 petang kerana ditenggelami air.

BH ONLINE