KAPIT — Seorang lelaki dikhuatiri lemas dibawa arus deras, manakala dua lagi berjaya diselamatkan penduduk kampung dalam kejadian bot karam di Nanga Makoh Sungai Batang Rajang di sini petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kejadian berlaku jam 5 petang ketika bot fiber dinaiki tiga mangsa bergerak dari arah Nanga Benin menuju Pekan Kapit, sebelum karam akibat terlanggar batu di tengah sungai.
Sehubungan itu, katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit memulakan usaha pencarian dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang masih hilang hari ini.
“Usaha SAR hari ini bermula jam 8 pagi menyasarkan pencarian secara permukaan pada radius pencarian dua kilometer dari lokasi bot berkenaan karam,” jelasnya.
BH ONLINE