2 penyamun parcel J&T bersenjata api ditembak mati di Nilai

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang aktif melakukan jenayah samun, kekerasan dan pengedaran dadah ditembak mati dalam Op Api 3, di tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 40 tahun dikesan di kondominium berkenaan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen jam 10 malam, hasil maklumat dan risikan sebelum polis berusaha memberkas mereka.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata selepas menyedari kehadiran polis, suspek telah melepaskan tembakan sehingga memaksa polis melepaskan tembakan balas demi mempertahankan diri.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang memiliki dua pucuk pistol jenis semi auto dan sepucuk revolver yang digunakan mereka dalam kejadian berbalas tembak itu.

“Suspek ini adalah ahli kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif melakukan samun pecah rumah, kilang dan pusat pengumpulan barangan parcel J&T, pengedaran dadah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Suspek berusia 29 tahun ini memiliki 11 rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 40 tahun memiliki 76 rekod jenayah termasuk dikehendaki polis,” katanya.

Fadil berkata, akibat daripada kejadian berbalas tembak itu kenderaan dinaiki polis rosak akibat terkena tembakan namun tiada anggota yang cedera.

“Kita tidak menolak kemungkinan dua suspek ini ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.

“Selain itu, kita juga percaya lokasi kondominium ini dipercayai adalah lokasi persinggahan suspek ini selain turut mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat persembunyian mereka,” katanya.

JSJ akan meneruskan operasi dengan memburu suspek lain dan membuat beberapa serbuan serta rampasan hasil jenayah samun membabitkan kumpulan ini susulan kejadian berbalas tembak ini.

Bagaimanapun pihak polis tidak dapat mengulas lebih lanjut bagi membolehkan usaha mengesan saki-baki rakan jenayah suspek yang ditembak mati ini.

BH ONLINE