134,000 warga Malaysia hilang kaki akibat diabetes, kemalangan

SEREMBAN — Seramai 134,000 penduduk negara ini direkodkan kehilangan kaki sama ada akibat penyakit Diabetis atau akibat kemalangan dengan 65 peratus daripadanya adalah golongan asnaf atau B40.

Pengarah Kempen ‘Feet4Life’, Nu’man Hani Jamal berkata, data itu diperolehi daripada kajian yang dilakukan sebuah universiti dan hanya 10 peratus daripada mereka yang benar-benar mampu umtuk memiliki kaki palsu.

“Disebabkan harga kos kaki palsu di pasaran melebihi RM5,000 malah ada yang mencecah puluhan ribu menyebabkan hasrat kebanyakan daripada mereka untuk mendapatkan kaki palsu menjadi sukar.

“Berdasarkan kajian, kira-kira 10 peratus saja yang ada akses atau maklumat untuk dapatkan bantuan kaki,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu beliau hadir Majlis Pelancaran Kempen Bantuan Kaki Palsu ‘Feet4Life’ Peringkat Negeri Sembilan yang disempurnakan anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, di sini, hari ini.

Pada masa sama beliau sangat mengalu-alukan pelbagai pihak sama syarikat korporat atau individu untuk menjayakan kempen ‘Feet4Life’ bagi membolehkan golongan sasar mendapat kaki palsu.

“Sejak kempen itu dilancarkan pada 2022 seramai 250 individu di semenanjung mendapat manfaat. Jadi kami mahu menguar-uarkan kepada semua syarikat korporat dan wakil ketua masyarakat untuk menjayakan usaha murni ini.

“Dengan sumbangan diberi, mereka ini dapat kembali mengurus diri tanpa bergantung kepada orang lain sekali gus menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, Feet4Life adalah projek kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan Yayasan UNITI dengan kerjasama UNITI Waqi Sdn Bhd dan syarikat pembuatan kaki palsu bumiputera Kedidi Global Sdn Bhd.

Sementara itu, Tunku Zain menyambut baik program berkenaan yang dapat membantu mengembalikan kualiti hidup pesakit sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih normal.

“Ini bukan sahaja meningkatkan mobiliti tetapi juga memberi mereka peluang untuk bekerja, belajar, dan bersosial dengan lebih baik. Feet4Life juga membantu dalam meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental individu,” katanya.

BH ONLINE