1 maut, 1 cedera diserang gajah liar di FELDA Tenggaroh

JOHOR BAHRU — Seorang maut, manakala seorang lagi cedera diserang gajah di kawasan belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaroh di FELDA Tenggaroh 5 di Mersing, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku ketika dua mangsa terbabit dipercayai mendekati gajah yang sebelum itu dikesan menceroboh kampung untuk menghalau haiwan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar, mengesahkan kejadian itu dengan maklumat awal diterima mengenai kehadiran gajah terbabit jam 8.30 pagi, sebelum ia disalurkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, beliau turut memaklumkan penduduk sekitar supaya tidak mengganggu atau mendekati kawasan gajah terbabit, namun jam 11.30 pagi pengurus FELDA terbabit menerima panggilan memaklumkan dua individu diserang dan dipijak gajah.

“Difahamkan mangsa yang maut dan cedera dipercayai mendekati gajah bagi tujuan menghalaunya dengan membawa kayu.

“Kami berdukacita dengan kejadian itu dan menggesa PERHILITAN mengambil tindakan sesuai dengan segera bagi menangani isu gajah berkeliaran di kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini gajah pernah dilihat berkeliaran di beberapa kawasan agak jauh daripada lokasi kejadian.

BH ONLINE